Didiklah anak-anak sedari kecil lagi
        Masalah adalah sesuatu yang memerlukan penyelesaian, perkara atau keadaan yang menimbulkan kesukaran. Sosial pula bererti segala yang berkaitan dengan masyarakat. Oleh itu masalah sosial bermaksud perkara, keadaan atau kesukaran yang berlaku dalam masyarakat hasil interaksi antara anggota masyarakat.
Masalah sosial kini memang hebat dibincangkan di mana-mana sahaja di dunia ini dan lebih hebat dibincangkan dari masa kesemasa di Malaysia. Masalah ini bukan sahaja  terjadi di negara membangun tetapi di negara maju dan juga dunia ketiga. Remaja masa kini hidup penuh dengan cabaran demi kemajuan dan kemodenan sehingga mereka kini hidup dengan penuh kebebasan. Kebebasan remaja kini tiada terbatas lagi hingga berlaku pelbagai masalah sosial di kalangan mereka. 
Saban hari, ada sahaja masalah gejala sosial yang berlaku di kalangan remaja  dilaporkan oleh media massa dan media elektronik. Isu ini semakin hari semakin membimbangkan kita kerana ianya seolah-olah bersiri dan tiada henti. Sampai bilakah kita perlu menanti apa yang bakal berlaku pada hari esok, lusa dan seterusnya?   
Remaja adalah seorang manusia yang berusia antara 14 hingga 21 tahun. Pada usia tersebut mereka sangat naif terhadap apa-apa perkara. Mereka biasanya teruja untuk  mencuba apa sahaja  yang dihidangkan di dunia ini tanpa memikirkan akibatnya di masa akan datang. 
Antara isu yang sering dibincangkan adalah rempit, memeras ugut, bunuh, buang bayi, merokok, putus cinta, mencuri, lari dari rumah, minum arak, pil khayal, berjudi, simpan gambar lucah, hubungan jenis luar nikah, pecah rumah, hisap dadah, samun, rasuah, maksiat dan banyak lagi.
Sebagai contoh, setiap hari ada sahaja isu bayi dijumpai di tepi tong sampah, dalam beg plastik dan lebih menyedihkan dalam mangkuk tandas. Bila terbaca terasa ingin menangis sahaja kerana masyarakat kita pada hari ini sudah ramai yang hilang sifat kasih dan sayang pada anak kecil ini. Tanpa rasa bersalah, mereka melakukan sedemikian rupa. Jika diteliti, seorang wanita mengambil masa lebih kurang sembilan bulan kehamilan. Namun, kajian mendapati di Malaysia setiap hari terdapat ibu luar nikah yang melahirkan zuriatnya. Ini bermakna setiap hari terdapat pasangan yang melakukan kerja terkutuk tersebut. Nauzubillahi min zalik..
Pernahkah kita terfikir sejenak kenapakah senang bagi pasangan yang tidak berkahwin mendapat zuriat sedangkan pasangan yang terlalu inginkan anak Allah menguji mereka bertahun-tahun barulah dikurniakan anak dan ada pula yang langsung tidak mempunyai zuriat? Tambahan pula, begitu senang bagi mereka melahirkan anak sehingga tanpa pertolongan doktor pun mereka mampu melahirkannya, bahkan selepas itu masih mampu berjalan seolah-olah bukan gaya baru bersalin. Sedangkan kesakitan seorang ibu yang berjuang ketika melahirkan digambarkan oleh Rasulullah s.a.w adalah kesakitan kedua selepas kematian, andai mati selepas bersalin dikira mati syahid. Semua ini adalah ujian Allah dengan mempermudahkan urusan mereka di dunia, namun di akhirat kelak, azabnya tidak terkira.
Pakar Psikologi Kanak-kanak dan Remaja, Dr Khaidzir Ismail telah mendedahkan bahawa dalam kajiannya yang melibatkan 887 orang remaja, hanya seorang sahaja yang masih belum pernah melakukan  hubungan seks. Hal ini sangat menyedihkan kerana kesemua daripada mereka adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam dan tidak terjangkau diminda kita perkara ini akan berlaku. Betapa teruknya akhlak anak bangsa kita pada hari ini. 
Saya tidak mahu mengulas panjang tentang isu ini kerana ianya sudah terlalu banyak dipaparkan dan dibincangkan. Namun, hingga kita tiada perubahan. Apa yang ingin saya sampaikan adalah, sama-samalah kita menjaga diri dan ahli keluarga kita, sebagaimana firman Allah, 
قوآ أنفسكم وأهليكم ناراً
Jika kita saling menjaga ahli keluarga kita dan menasihati antara satu sama lain, insya Allah kita akan terpelihara dari azab siksa api neraka. Dunia ini hanyalah satu persinggahan sebelum kita menuju ke destinasi hakiki.

0 Comments:

Post a Comment



كل عام وأنتم بخير

شكرا على زيارتكم جميعاً

"HiDup Ini IndAh JikA SeGalanYa KeRaNa ALLaH"